pijarborneo.com - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan bahawa secara purata, sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak di Gaza kehilangan satu atau kedua-dua kaki setiap hari akibat perang yang berterusan.
Memetik angka daripada Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, menyatakan jumlah itu tidak termasuk kanak-kanak yang kehilangan anggota badan lain seperti lengan dan tangan.
"10 kanak-kanak setiap hari, ini bermakna kira-kira 2,000 kanak-kanak telah kehilangan anggota badan selepas lebih 260 hari perang kejam ini. Pembedahan bagi memotong kaki sering berlaku dalam keadaan yang dahsyat dan sering kali tanpa bius," katanya.
Lazzarini juga menyatakan bahawa UNRWA menyelaraskan hampir semua bantuan ke Gaza namun agensi itu berdepan serangan tanpa henti dan krisis pembiayaan yang serius. Agensi itu masih memerlukan dana sekurang-kurangnya AS$140 juta (RM658 juta) untuk bertahan sehingga akhir tahun ini.
"Dari aspek kewangan terkini, kami hanya mampu bertahan sehingga akhir Ogos ini sahaja," tambahnya.
Pada masa yang sama, Save the Children mendedahkan kira-kira 21,000 kanak-kanak dianggarkan hilang akibat perang. Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 37,658 orang terbunuh dalam serangan balas Israel dalam peperangan yang tercetus pada 7 Oktober lalu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.